“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Misi KPM
Membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.
Matlamat
a.Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
b.Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
c.Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
d.Memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
Nama permainan : Salah atau betul Kemahiran : Mendengar dan memahamkan arahan Objektif : (i) Mendengar ayat-ayat penyata yang diujarkan (ii) Memahami arahan mudah yang didengar Kandungan : Ayat Penyata Jenis aktiviti : Kelas Kumpulan mengikut barisan Prosedur Permainan : i. Teriakkan beberapa ayat penyata dengan jelas Misalnya: Sekarang hujan lebat. Hari ini hari Selasa. Guru kelas ini seorang wanita. Dua orang pelajar tidak hadir hari ini. (Jika ayat yang disebut itu betul pelajar akan duduk di kerusi. Sebaliknya,jika ayat yang disebut itu salah pelajar akan berdiri) ii. Markah akan diberi bagi setiap aksi yang betul iii. Guru boleh mengulang aktiviti ini dengan mengemukakan ayat-ayat yang seterusnya. iv. Kumpulan yang ahlinya banyak melakukan aksi yang betul dikira menang.
Nama permainan : Maka berkatalah Simon Kemahiran : Mendengar dan membezakan arahan Objektif : (i) Melakukan arahan mudah yang didengar (ii) Mengenal pasti dan menamakan bahagian-bahagian tubuh Kandungan : - Bahagian-bahagian tubuh - Kosa kata: siku, kuku, jari hantu, jari manis, ibu jari, lutut,buku lali,hidung, telinga, mulut, kepala, dahi, mata, kening - Aspek bahasa: berdiri, duduk tunjukkan saya... sila angkat... tunjuk kepada... pegang...anda Jenis aktiviti : Kelas Prosedur Permainan :
i. Pelajar ditunjukkan beberapa model yang melakukan aksi tertentu ii. Pelajar diterangkan peraturan permainan iii. Pelajar perlu mendengar arahan yang bermula dengan “Simon berkata...” Misalnya: “Simon berkata berdiri” iv. Pelajar melakukan aksi yang disebutkan v. Pelajar berdiam diri sebentar vi. Guru kemudian berkata “duduk” vii.Pelajar yang membuat aksi tersebut tanpa dimulai dengan perkataan “Simon berkata...” akan diketepikan daripada permainan. viii.Mainkan permainan ini beberapa ketika dan pelajar yang tinggal apabila permainan ditamatkan dikira sebagai pemenang.
Tema sambutan Hari Guru "Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan" mengandungi mesej yang amat mendalam yang sepatutnya menjadi satu penggerak untuk guru-guru meneliti dan mengkaji segala aspek berhubung profesion keguruan dalam satu ruang lingkup yang luas dan mendalam. Imej dan martabat guru dan keguruan telah banyak terhakis tidak patut menjadi sesuatu yang menghalang kaum guru daripada terus meningkatkan semula imej ini dengan melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab tugas seperti yang sewajarnya ke tahap yang paling maksimum terutama di dalam era 'globalisasi' dan dalam usaha kerajaan menjana prasarana dan ketrampilan pekerja-pekerja sektor perkhidmatan awam dalam K-ekonomi.
Walau apa pun sebab yang diberikan, kita kaum guru wajar menerima pandangan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Noor Azmi Ibrahim yang disebut sebagai berkata bahawa, imej profesion keguruan akan lebih sempurna apabila guru-guru mahir dalam perkara berkaitan kaedah pedagogi. Jika guru menguasai kemahiran konseptual,interpersonal dan teknikal maka ini akan membantu memartabat dan memulihkan imej profesion keguruan ini. Tambahnya lagi jika kaum guru berjaya menghayati tiga aspek ini, adalah tidak mustahil kaum guru akan menjadi kumpulan pemikir yang sentiasa menjadi rujukan masyarakat seperti satu masa dahulu.
Ketahuilah bahwa 'martabat guru dan keguruan' bukan terletak atau meminta pihak lain memberikan pengiktirafan sebaliknya guru sendirilah yang mesti berusaha ke arah itu. Sayangnya berapa ramai pula guru-guru yang tidak melambangkan ciri-ciri seorang guru yang unggul melalui 'gelagat' yang mereka sendiri lakukan: tidak memenuhi standard kualiti kerja, sikap keilmuan yang dangkal dan tidak memfokus kepada pengajaran dan pembelajaran. Blaine Lee dalam bukunya The Power Principle menyebut; "Kebanyakan sekolah mempunyai guru-guru yang cemerlang, setengahnya guru-guru 'mediocre', dan setengahnya pula mempunyai guru-guru yang tidak termasuk ke dalam profesion tersebut." Ertinya di samping terdapatnya guru-guru yang memang cemerlang namun sekolah-sekolah kita tetap mempunyai guru-guru bermasalah, guru-guru yang 'burnt-out', guru-guru yang 'sakit mental', dan paling memalukan terdapatnya segolongan guru-guru yang 'tidak boleh digelar guru' langsung dan seribu satu macam lagi. Apakah gejala-gejala negatif ini bukan penyebab kepada kemerosotan nilai dan imej kaum guru di mata masyarakat?
Pemujaan kepada 'materialistik' menyebabkan ramai guru melakukan 'kerja sampingan' (kadang-kadang sudah jadi utama) yang sudah diketahui umum. Masa di sekolah sudah tidak bertumpu kepada P&P lagi sebaliknya 'hati sentiasa teringat' akan 'kerja-kerja luar' yang menambah pendapatan walau pun kebajikan murid dikorbankan. Berapa ramai pula guru-guru yang nampak melebihkan masa dan tenaga untuk kelas-kelas 'tusyen' berbanding kelas rasminya di sekolah? Bagaimana pula sikap guru termasuk para pentadbirnya yang melebihkan 'main' daripada proses P&P; Ujian Bulanan tidak jadi keutamaan, boleh ditunda-tunda sesuka hati walau telah ditetapkan oleh Jabatan? Bagaimana pula kualiti kerja dalam menyediakan soalan-soalan nampak sangat melepaskan batuk ditangga, buat secara ala kadar sahaja membuktikan 'hati perut' sebenar seorang guru yang tidak 'malu' mempamerkan kerjanya yang tidak bermutu? Bagaimana pula tingkah-laku guru-guru kita ketika berada di sekolah sepanjang hari adakah benar-benar mengajar sepenuh hati? Atau adakah tidak berlakunya sindrom guru-guru yang 'busy by doing nothing'? yang pandai berlakon dan bersandiwara, yang menjadi 'jelatang' dan 'petualang', yang menjadi 'duri dalam daging' kepada sekolah dan organisasi? Dan paling berat ialah guru-guru yang dihinggapi penyakit 'hati' yakni malas, culas, cuai, ghaflah, resah, gelisah, suka berborak, lambat bertindak, buat kerja hendak tak hendak, banyak masanya habis di kantin, datang sentiasa lambat tapi baliknya selalu pula cepat, sentiasa cari peluang untuk 'tuang', dan bersikap semua peraturan dan undang-undang tidak betul kecuali dirinya seorang!
Adakah kita sebagai Guru Besar merelakan situasi seumpama ini berlaku dan terus berlaku di sekolah yang kita terajui dan tadbirkan? Oleh itu kita wajib membetulkan keadaan, 'mengubatpenyakit' yang ada di sekolah kita masing-masing agar tidak ada lagi guru-guru (termasuk pekerja) yang tersasar dan 'sasau', agar sikap dan tingkah-laku kita semua sama-sama dapat mengangkat 'martabat profesion keguruan' ke tahap yang paling agung dan mulia.ٱ
Antara sifat dan gelagat
antara bijak dan bejat
bagaimana bisa mengangkat martabat dan darjat
guru dan keguruan dalam dunia tanpa sempadan
lautan ICT yang tidak bertepi K-ekonomi jadi dagangan
jika profesionalisme dan profesionaliti
tidak digarap dan tidak dihayati ke tahap tertinggi
“saya Setia Budi, panggil Budi sahaja, nama saudari pula?” aku bertanya kepadanya.
”Saya Cahaya Indah, panggil sahaja Indah”. dia memperkenalkan dirinya kepadaku.
Begitulah detik-detik perkenalan aku dan Indahpertemuan ketika Pesta Pantun di sekolah menengah Tun Perak. Sejak itu, aku mula mengingati nama itu. Mungkin agak unik dan pelik bunyinya. Lain daripada yang lain. Tetapi aku hanyalah mengingati namanya dan aku tidak lagi berhubung selepas pertemuan pertama kami. Aku tetap meneruskan rutin harianku sebagai seorang pelajar. Aku perlu bersedia sepenuhnya untuk menempuhi peperiksaan SPM hujung tahun ini.Cita-citaku dan impian ibu bapaku harus kugapai.
”Ibu, Along dapat keputusan cemerlang bu! 8A1,” “Ibu, Along dah berjaya”. laungku sambil menaiki tangga rumah.
“Alhamdulillah, berjaya juga anak ibu ni”. kata ibu seraya memelukku.
Aku mula menunggu sebarang tawaran untuk menyambung pelajaranku. Namun, aku hampa. Seorang demi seorang rakan-rakan seperjuanganku menerima tawaran, tetapi aku masih begini. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaranku ke tingkatan enam. Cita-citaku untuk menjadi warga pendidik harus kugapai walau dengan apa cara sekalipun.
”ini Budi kan?”. seorang gadis menyapaku.
”ya”. jawabku pantas.
”Ini Indahkan?” tanyaku pula.
”Eh, Budi masih ingat lagi pada saya?”jawab Indah.
”Mestilah ingat, nama Indah kan ’indah’. ujarku sambil tersenyum padanya.
Kulihat Indah tersipu-sipu malu apabila aku berkata begitu. Kami kemudiannya berbual-bual dan bertanyakan tentang diri masing-masing. Aku tidak menyangka akan bertemu kembali dengan Indah.
Semakin hari hubungan aku dan Indah bertambah erat. Kami boleh dikatakan sebagai sahabat karib. Tetapi aku benar-benar tertarik dengan perwatakannya yang lemah-lembut, bersopan-santun dan peramah. Saban hari aku menjadi penunggu setia Indah di kantin sekolah. Oleh kerana aku dan Indah pengawas sekolah, maka aku sering menjadikan urusan pengawas sebagai alasan untuk bertemu dengannya.
”Budi, laporan disiplin untuk bulan lepas dah siap. Nanti Budi tolong hantarkan pada Firdaus ya”. pinta Indah.
”Baiklah, nanti saya serahkannya”. jawabku.
”Indah dah makan?”. sambungku.
”Indah makan kat rumah saja nanti” jawab Indah.
”Indah pulang dulu ya, nanti tertinggal bas pula” kata Indah seraya meninggalkanku.
Sudah hampir setahun berlalu. Kini aku berada di Tingkatan Enam Atas. Aku akan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Setiap petang aku pergi ke perpustakaan sekolah untuk membuat rujukan dan mengulang kaji pelajaran. Suatu hari, Indah datang menemuiku di perpustakaan dan meminta aku mengajarnya mata pelajaran sejarah kerana dia agak lemah dalam mata pelajaran tersebut. Sejak detik itu, hampir saban hari aku dan Indah belajar bersama-sama dan sering mengadakan perbincangan tentang mata pelajaran yang kami kurang faham. Menjelang peperiksaan pertengahan tahun, aku mengingatkan Indah supaya menjawab soalan dengan baik dan berhati-hati.
Tamat peperiksaan, guru-guru sibuk menyemak dan memberi semula kertas jawapan kepada pelajar. Aku terus berjumpa Indah dan bertanyakan markah mata pelajaran sejarah yang baru sahaja diperolehi. Aku lihat Indah hanya membatukan diri sahaja apabila aku bertanya. Lantas aku merampas kertas Sejarah di tangannya. Aku sangat terkejut melihat kertas Sejarahnya yang kosong dan hanya tertera nama ’Cahaya Indah Binti Mohd Najib’ dari Kelas 6A1. Tanpa berfikir panjang, aku terus memarahinya. Indah terus berlari meninggalkanku.
Sejak peristiwa itu, aku tidak lagi dapat bersua dengan Indah. Aku tahu dia amat marah dengan tindakanku tempoh hari dan langsung tidak mahu bersua muka denganku lagi. Apabila terserempak denganku, Indah melarikan diri dan ada sahaja alasan yang diberikan. Boleh dikatakan sejak peristiwa itu, Indah seperti jijik melihat mukaku. Aku dihambat rasa bersalah. Tidak sepatutnya aku memarahinya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa setelah pelbagai usaha aku lakukan untuk memujuknya. Namun, semuanya menemui kegagalan. Namun, perjuanganku untuk menghadapi peperiksaan tetap kuteruskan, impianku dan harapan kedua orang tuaku tidak akan aku hancurkan. Walaupun kadangkala bayagan Indah sering menghantui fikiranku. Namun, tetap kugagahkan jua.
Setelah berhempas-pulas, aku akhirnya selamat menduduki peperiksaan STPM. Aku berdoa agar aku akan mendapat keputusan yang cemerlang setelah aku berusaha bersungguh-sungguh. Namun, Indah masih begitu. Sejak hari terakhir persekolahan, aku tidak lagi pernah menemui Indah. Kadangkala ada juga aku lalu di hadapan rumahnya dengan harapan aku dapat melihat kelibatnya. Bertanyakan pada rakan-rakan yang lain, semuanya tidak tahu tentang Indah, seolah-olah semua rakan-rakanku tidak mahu memberitahu perihal Indah kepadaku. Aku tetap masih menanti wajah Indah yang sangat ’indah’ di pandangan mataku. Sehinggalah hari keputusan STPM diumumkan, aku tetap menunggu Indah. Aku pergi ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan dengan pelbagai perasaan. Ya, aku berdebar untuk mengetahui keputusanku. Namun aku jua berdebar untuk melihat wajah Indah kesayanganku.
Setibanya di sekolah, aku terus mendapatkan keputusanku daripada guru kelasku, Encik Wan Osman yang telah banyak memberikan galakan padaku. Alhamdulilah, aku telah berjaya mendapat 5A dan dinobatkan menjadi pelajar terbaik di sekolahku. Aku bersyukur padamu Ya Rabbi. Dalam kegembiraanku, aku merasa hampa. Aku tidak menemui wajah Indah. Aku berada di sekolah hingga petang dengan harapan aku akan dapat bertemu dengan Indah, namun wajahnya tidak jua kunjung tiba. Lantas aku pulang ke rumah untuk berkongsi kejayaanku dengan keluargaku. Pasti mereka gembira dengan kejayaanku ini.
Setelah hampir dua bulan menunggu, aku akhirnya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Univesiti Sheifield, London. Pada mulanya, ibu terlalu berat untuk melepaskanku tetapi setelah aku yakinkan ibu, akhirnya ibu redah melepaskanku walau dengan hati yang begitu berat. Aku meninggalkan keluargaku, tanah airku dan wajah Indah yang kurindui dengan satu harapan untuk memburu kejayaan dan memebela nasib keluargaku.
Setelah hampir empat tahun aku melalui pahit getir di perantauan, aku kembali semula ke tanah air. Aku memilih untuk menjadi pendidik, membela nasib anak-anak bangsaku yang sentiasa dahagakan ilmu. Aku bertugas di sekolah lamaku, Sekolah Menengah Tun Perak sebagai guru Bahasa Inggeris. Aku bersyukur kerana aku dapat menabur budi di tempatku sendiri. Namun, hingga kini, wajah Indah tidak pernah lagi kutemui. Aku dipagut rindu yang menebal untuk bertemu dan menatap wajah ’indahnya’. Aku ingin memohon maaf atas kesalahku. Andai perbuatan aku memaharinya dulu telah melukakan hatinya, aku sanggup menebus kembali kesalahanku. Aku tidak mahu lagi terseksa seperti ini. Terseksa menanti sesuatu yang aku tidak pasti.
Suatu hari, aku hampir tidak percaya apabila terpandang gadis bertudung litup yang melintas di hadapan bilik guru. Mataku terpaku. Lantas aku mengejarnya dan memanggilnya tetapi gadis itu hilang dalam bilik pengetuaku yang masih muda dan agak kacak orangnya. Sedang aku berdiri di hadapan bilik pengetua, tiba-tiba pengetua membuka pintu dan terpacul wajah pengetua dan gadis yang kukejar sebentar tadi. ”Indah”! Terpacul keluar nama itu dari mulutku. Kulihat Indah juga terkejut.
”Cikgu Budi kenal dengan Indah?”. tanya pengetua yang berumur awal 30-an itu. Aku hanya membatukan diri.
”Kenalkan, ini isteri saya, Puan Cahaya Indah, kami baru tiga bulan berkahwin”. sambungnya lagi.
Aku seperti tidak percaya. Gadis yang kunanti dan kurindui selama ini rupanya telah menjadi isteri pengetua sekolahku sendiri.
”Maafkan Budi, Indah”. Kataku.
”Budi doakan semoga Indah bahagia hingga ke akhir hayat”. Sambungku lagi.
Hanya itu yang mampu aku katakan pada saat ini. Tiada lagi wajah yang indah dan sentiasa kurindui. Kini, berakhirlah sudah sebuah penantian yang ’indah’.
Daerah Hilir Perak terletak di selatan Negeri Perak Darul Ridzuan bersempadan dengan Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan, Daerah Batang Padang di sebelah Timur, Perak Tengah dan Manjung di sebelah Utara dan Barat Lautnya. Daerah Hilir Perak terletak bersebelahan dengan Daerah Perak Tengah dan Daerah Batang Padang.
Daerah ini meliputi kawasan seluas kira-kira 166,306 Ha (415,766 ekar) iaitu keenam terbesar dari segi keluasan daerah dalam Negeri Perak Darul Ridzuan. Daerah ini terbahagi kepada sembilan (9) buah mukim yang mengandungi 99 buah kampung utama. Daerah Hilir Perak terdiri daripada sembilan buah mukim iaitu Mukim Sungai Manik, Mukim Labu Kubong, Mukim Changkat Jong, Mukin Teluk Baharu, Mukim Hutan Melintang, Mukin Sungai Durian, Mukim rungkup dan Mukim Bagan Datoh. Kampung saya terletak dalam Mukim Teluk Baharu.
Dalam Tahun 1991, Daerah Hilir Perak mempunyai seramai 203,020 penduduk tetapi bancian yang dibuat pada Tahun 2000 menunjukkan bahawa penduduk daerah ini telah berkurangan seramai 5,941 menjadikan jumlahnya 196,098 orang. Ini disebabkan berlakunya penghijrahan keluar penduduk untuk mencari pekerjaan di luar daerah ini.
Pusat Pentadbiran Daerah Hiir Perak terletak di Bandar Teluk Intan yang merupakan Penempatan Separa Wilayah. Di bandar ini terdapat sebanyak 50 buah jabatan-jabatan kerajaan yang dianggotai lebih kurang 7,500 orang kakitangan. Bandar ini telah dinaiktaraf sebagai sebuah Perbandaran dan mempunyai seorang Yang DiPertua sepenuh masa.
Bahasa Melayu ialah bahasa negara iaitu bahasa Kebangsaan Malaysia dan bahasa rasmi negara. Ini termaktub pada Perkara 152 dalam Undang-undang Pendidikan Kebangsaan semenjak Akta Pelajaran 1957 hingga ke Akta Pendidikan 1996. Sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Melayu mempunyai peranannya yang tersendiri iaitu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu yang merupakan asas penting dalam pembinaan Negara. Oleh itu, bahasa Melayu perlu menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Namun begitu,pembudayaan bahasa Melayu disalahfahami oleh sesetengah orang sebagai usaha mengisi bahasa Melayu dengan unsur budaya, seolah-olah bahasa Melayu tidak atau kurang berbudaya ( Awang Sariyan, 2004a:16).
Pembudayaan bahasa kebangsaan dapat didefinisikan berdasarkan beberapa aspek. Kata pembudayaan itu sendiri terbit daripada pada kata ‘budaya’ yang bermaksud tamadun atau peradaban. Pembudayaan pula bermaksud proses atau cara melazimkan sesuatu seperti ilmu dan pemikiran sebagai sebahagian daripada amalan hidup. Pembudayaan bahasa kebangsaan bermaksud mengamalkan cirri-ciri bahasa itu, termasuk aspek nilai budi, kesantunan, dan sistem linguistik bahasa yang berkenaan dalam kehidupan seharian. Menurut Datuk seri Utama Dr, Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dalam ucapannya semasa merasmikan Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KeKKWa dan Universiti Putra Malaysia, beliau telah mentakrifkan maksud pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai mengamalkan sesuatu itu sebagai tabi’i hidup mengikut kaedah atau rukunnya. Justeru, membudayakan bahasa kebangsaan membawa erti memakai bahasa Melayu dalam perhubungan linguistik yang betul dan mengisi tuntutan hidup harian dan seterusnya menunjangi zaman membentuk tamadun masyarakat dan bangsa Melayu. Walaupun bahasa Melayu telah berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaun di negara ini, dan berjaya menjadi bahasa ilmu dan bahasa tamadun tinggi, namun pembudayaan bahasa Melayu masih belum dapat dibanggakan. Oleh itu, situasi dan peranan bahasa Melayu sejak dahulu hingga kini perlu dikaji serta langkah-langkah ke arah membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan.
Jika kita lihat dari perspektif sejarah, bahasa Melayu telah mencapai zaman kegemilangan sejak zaman kesultanan Melayu sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19. Awang Sariyan (2004b:17) menyatakan bahawa keagungan tamadun Melayu silam (dari zaman Sriwijaya hingga zaman kesultanan Melayu Melaka, Pasai, Aceh, Kedah, patani, BanjarMasin, Riau Johor dan sebagainya). Selain itu, sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa sastera tinggi, bahasa penyebaran agama besar dan lingua franca bagi Kepulauan Melayu di bawah Kerajaan Sriwijaya. Fakta ini disokong oleh Sarjana terkemuka Belanda, Francois Valentijn. Beliau mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abadke-16 sebagai yang berikut :
Bahasa mereka, bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan diseluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri timur sebagai suatu bahasa yang mudah difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa bahasa Perancis dan Latin di Eropah…(Awang Sariyan, 2005:1)
Berdasarkan bukti ini jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh masyarakat terdahulu dan telah menjadi budaya dalam amalan kehidupan mereka.
Namun kini, nilai pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita semakin luntur. Nilai kelunturan ini dapat dilihat dalam dua aspek utama iaitu aspek taraf dan mutu bahasa. Kelunturan dalam aspek taraf bermaksud menyempitkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undangiaitu Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa kebangsaan , Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas, tetapi kian mengecil. Sementara itu, kelunturan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang fungsional seperti pentadbiran, penyiaran, dan pendidikan. Berikut diperturunkan scenario peristiwa bahasa yang boleh kita renungkan bersama-sama untuk melihat dan menilai tahap pembudayaan bahasa kebangsaan di negara kita. Senario ini berlaku dalam sebuah majlis rasmi kerajaan yang dihadiri oleh pegawai tinggi kerajaan dan para pembesar negara. Pengacara majlis memulakan majlis dengan asaalamualaikum dan mengalu-alukan para hadirin dalam bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan oleh penganjur, tetamu kehormat serta bacaan doa juga dilafazkan dalam bahasa Inggeris. Pendek kata, seluruh acara dalam majlis rasmi kerajaan itu berlangsung dalam bahasa Inggeris, sedangkan seorang dua sahaja hadirin yang terdiri daripada orang asing. Yang lainnya orang Malaysia, kebanyakannyaorang Melayu, yang sudah pasti menguasai bahasa Melayu dengan baik. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa nilai pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan kita semakin meruncing dan tidak dapat dibanggakan. Oleh itu, langkah-langkah ke arah pembudayaan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan.
Peningkatan nilai pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahan jati diri dan maruah bangsa dan negara. Langkah utama ke arah pembudayaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah melalui penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu. Contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Teo Kok Seng (2006:698) menyatakan bahawa peluasan liputan dan lingkungan penggunaan dalam ranah rasmi ini hendaklah merangkumi segala macam kegiatan dan apa-apa sahaja yang melibatkan penggunaan ruang awam atau perhatian awam, yang dianjurkan (misalnya pelancaran acara tertentu) dan diuruskan (misalnya pemasangan sesuatu iklan) oleh mana-mana organisasi, sama ada awam ataupun swasta. Justeru, semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Diharapkan dengan usaha ini, tidak akan ada sebarang tindakan yang mampu melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, penyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.
Di samping itu, langkah yang seterusnya dalam usaha pembudayaan bahasa kebangsaandalam jiwa-jiwa bangsa kita ialah melalui sistem pendidikan seperti yang dikemukanan oleh Awang Sariyan. Usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu selaras dengan Akta Pelajaran 1996. Misalnya pengajaran matematik dan sains semacam mati sejak tahun 2002. kita tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris tetapi biarlah bahasa Melayu berganding dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, sukatan pelajaran, buku teks, bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Ini bermakna, setiap aktiviti dalam arena pendidikan mestilah menggunakan bahasa Melayu yang baik. Dengan demikian, diharapkan budaya bahasa kebangsaan ini dapat disuburkan dalam diri anak-anak bangsa kita di samping menepis landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi sama ada bahasa sembang internet, bahasa ‘sms’ atau yang lain daripada menggugat bahasa Melayu yang mewakili budaya teras.
Selain itu, pembudayaan bahasa kebangsaan juga dapat dilaksanakan melalui medium perniagaan dan penyiaran. Aktiviti perniagaan dan penyiaran merupakan satu wadah utama dalam masyarakat Malaysia. Jika kita lihat sekarang, pelbagai ragam atau binaan frasa baru dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek sistem linguistik bahasa Melayu dengan betul. Contohnya, bahasa yang disiarkan di media massa. Penciptaan bentuk bahasa seperti “infotaimen” dan “sure heboh” menggambarkan penggunaan bahasa rojak yang semakin berleluasa. Di samping itu, bahasa-bahasa yang dipamerkan di tempat-tempat awam juga tidak menepati sistem bahasa yang betul. Jika situasi ini berterusan, usaha pembudayaan bahasa kebangsaan semakin malap. Dengan demikian, pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai agen pembudayaan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan.Justeru, tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga undang-undang. Contohnya, Akta Komunikasi dan Penyiaran serta Undang-undang Kecil Perniagaan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas. Bagi premis-premis perniagaan pula, pindaan dan peruntukan akta yang berkaitan perlu diperluaskan. Akta-akta yang sudah tidak dikemas kini atau tidak jelas penggunaan bahasa Melayu seperti akta jalan, parit dan bangunan, akta pertubuhan, akta pendaftaran perniagaan, akta syarikat, akta cap dagang serta akta industri pelancongan perlu dipinda dengan segera. Dengan demikian, diharapakan bahasa yang disiarkan di media massa ada program televisyen mahupun iklan serta bahasa yang dipamerkan di tempat awam mestilah dalam bentuk bahasa kebangsaan yang baik dan betul di samping tidak mengabaikan unsur keindahan dan kesantunan bahasa.
Usaha yang seterusnya untuk membudayakan bahasa kebangsaan dalam masyarakat Malaysia ialah melalui pengukuhan penggunaan bahasa Melayu disemua sektor, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta. Pensyarah di Jabatan Antropologi Universiti Malaya, Profesor Datuk Zainal Kling, (2006:2) berkata, penggunaan bahasa Melayu secara rasmi dalam semua aspek kehidupan di sektor kerajaan atau swasta adalah jalan terbaik untuk memartabatkan bahasa itu. Contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula dalam semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara ataupun dalam sektor swasta dan korporat. Usaha ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan persekutuan dan Akta Kebangsaan. Ini bermakna, semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan masyarakat, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Selain itu, modul bahasa dan persuratan dalam program di setiap agensi kerajaan dan sektor swasta perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ‘kursus dalam perkhidmatan’ masing-masing. Melalui usaha ini, diharapkan sektor kerajaan dan swasta mampu menjadi model dalam membentuk acuan bahasa kebangsaan sebagai budaya dalam masyarakat Malaysia.
Selain itu, program pemasyarakatan bahasa kebangsaan merupakan satu langkah penting dalam usaha membudayakan bahasa kebangsaan dalam masyarakat kita. Pihak kerajaan melalui semua kementerian, jabatan, agensi, perbadanan serta pihak swasta hendaklah secara aktif merancang dan menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara. Hal ini disebabkan masyarakat mudah menerima serta mudah terpengaruh apabila mereka sendiri yang melakukan aktiviti tersebut dan terlibat secara langsung. Contohnya, penganjuran Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Melalu aktiviti sebegini, masyarakat akan terdedah dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul serta sedar tentang kelestarian bahasa Melayu yang patut diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Di samping itu, melalui usaha kerajaan juga, semua program yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mestilah memasukkan program bahasa dan persuratan sebagai komponen utama. Misalnya, dalam Program Latihan khidmat Negara (PLKN), Kursus Biro Tatanegara dan Program KP3P. Selain itu,Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan professional perlu memasukkan modul bahasa Melayu. Melalui program sebegini, masyarakat akan dapat melibatkan diri secara langsung, sama ada di peringkat sekolah, sektor kerajaan dan swasta serta dalam komuniti tempat tinggal mereka sendiri. Maka, nilai-nilai penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul dapat disemai dalam diri jiwa-jiwa bangsa kita dan seterusnya mampu menjadi budaya dalam amalan kehidupan harian mereka.
Kesimpulannya,masih jauh lagi perjalanan bagi menimbulkan rasa setia dan gah dalam kalangan rakyat Malaysia tentangbahasa kebangsaan. Di samping kurangnya rasa setia dan gah bahasa, merosotnya kesedaran tentang norma dan sistem bahasa kebangsaan merencatkan usahapembudayaan bahasa kebangsaan. Dalam keghairahan mengejar pembangunan dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan ini, kita tidak seharusnya membiarkan generasi akan datang mencari-cari budaya warisan kita. Hal ini disebabkan bahasa dan budaya tidak boleh dipisahkan. Maka, dalam kita mengejar pembangunan, aspek pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai jati diri bangsa yang maju mengikut acuan sendiri harus diberi perhatian. Dalam erti kata lain, penghayatan pembudayaan bahasa kebangsaan dalam segala aspek pembangunan perlu dilaksanakan. Oleh itu, keadaan begini menuntut kita rasa sayang dan cinta kepada bahasa sebagai warisan bangsa untuk terus-menerus berjuang agar ungkapan ‘Bahasa jiwa bangsa’ bukan sekadar tinggal di bibir, tetapi diterjemah dalam bentuk amalan harian oleh seluruh rakyat Malaysia.