Sunday, September 27, 2009

~SEBUAH PENANTIAN INDAH~



SEBUAH PENANTIAN INDAH

Oleh: Siti Khairiah Jajuli


“saya Setia Budi, panggil Budi sahaja, nama saudari pula?” aku bertanya kepadanya.

”Saya Cahaya Indah, panggil sahaja Indah”. dia memperkenalkan dirinya kepadaku.

Begitulah detik-detik perkenalan aku dan Indahpertemuan ketika Pesta Pantun di sekolah menengah Tun Perak. Sejak itu, aku mula mengingati nama itu. Mungkin agak unik dan pelik bunyinya. Lain daripada yang lain. Tetapi aku hanyalah mengingati namanya dan aku tidak lagi berhubung selepas pertemuan pertama kami. Aku tetap meneruskan rutin harianku sebagai seorang pelajar. Aku perlu bersedia sepenuhnya untuk menempuhi peperiksaan SPM hujung tahun ini.Cita-citaku dan impian ibu bapaku harus kugapai.

”Ibu, Along dapat keputusan cemerlang bu! 8A1,” “Ibu, Along dah berjaya”. laungku sambil menaiki tangga rumah.

“Alhamdulillah, berjaya juga anak ibu ni”. kata ibu seraya memelukku.

Aku mula menunggu sebarang tawaran untuk menyambung pelajaranku. Namun, aku hampa. Seorang demi seorang rakan-rakan seperjuanganku menerima tawaran, tetapi aku masih begini. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaranku ke tingkatan enam. Cita-citaku untuk menjadi warga pendidik harus kugapai walau dengan apa cara sekalipun.

”ini Budi kan?”. seorang gadis menyapaku.

”ya”. jawabku pantas.

”Ini Indahkan?” tanyaku pula.

”Eh, Budi masih ingat lagi pada saya?”jawab Indah.

”Mestilah ingat, nama Indah kan ’indah’. ujarku sambil tersenyum padanya.

Kulihat Indah tersipu-sipu malu apabila aku berkata begitu. Kami kemudiannya berbual-bual dan bertanyakan tentang diri masing-masing. Aku tidak menyangka akan bertemu kembali dengan Indah.

Semakin hari hubungan aku dan Indah bertambah erat. Kami boleh dikatakan sebagai sahabat karib. Tetapi aku benar-benar tertarik dengan perwatakannya yang lemah-lembut, bersopan-santun dan peramah. Saban hari aku menjadi penunggu setia Indah di kantin sekolah. Oleh kerana aku dan Indah pengawas sekolah, maka aku sering menjadikan urusan pengawas sebagai alasan untuk bertemu dengannya.

”Budi, laporan disiplin untuk bulan lepas dah siap. Nanti Budi tolong hantarkan pada Firdaus ya”. pinta Indah.

”Baiklah, nanti saya serahkannya”. jawabku.

”Indah dah makan?”. sambungku.

”Indah makan kat rumah saja nanti” jawab Indah.

”Indah pulang dulu ya, nanti tertinggal bas pula” kata Indah seraya meninggalkanku.

Sudah hampir setahun berlalu. Kini aku berada di Tingkatan Enam Atas. Aku akan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Setiap petang aku pergi ke perpustakaan sekolah untuk membuat rujukan dan mengulang kaji pelajaran. Suatu hari, Indah datang menemuiku di perpustakaan dan meminta aku mengajarnya mata pelajaran sejarah kerana dia agak lemah dalam mata pelajaran tersebut. Sejak detik itu, hampir saban hari aku dan Indah belajar bersama-sama dan sering mengadakan perbincangan tentang mata pelajaran yang kami kurang faham. Menjelang peperiksaan pertengahan tahun, aku mengingatkan Indah supaya menjawab soalan dengan baik dan berhati-hati.

Tamat peperiksaan, guru-guru sibuk menyemak dan memberi semula kertas jawapan kepada pelajar. Aku terus berjumpa Indah dan bertanyakan markah mata pelajaran sejarah yang baru sahaja diperolehi. Aku lihat Indah hanya membatukan diri sahaja apabila aku bertanya. Lantas aku merampas kertas Sejarah di tangannya. Aku sangat terkejut melihat kertas Sejarahnya yang kosong dan hanya tertera nama ’Cahaya Indah Binti Mohd Najib’ dari Kelas 6A1. Tanpa berfikir panjang, aku terus memarahinya. Indah terus berlari meninggalkanku.

Sejak peristiwa itu, aku tidak lagi dapat bersua dengan Indah. Aku tahu dia amat marah dengan tindakanku tempoh hari dan langsung tidak mahu bersua muka denganku lagi. Apabila terserempak denganku, Indah melarikan diri dan ada sahaja alasan yang diberikan. Boleh dikatakan sejak peristiwa itu, Indah seperti jijik melihat mukaku. Aku dihambat rasa bersalah. Tidak sepatutnya aku memarahinya. Aku tidak mampu berbuat apa-apa setelah pelbagai usaha aku lakukan untuk memujuknya. Namun, semuanya menemui kegagalan. Namun, perjuanganku untuk menghadapi peperiksaan tetap kuteruskan, impianku dan harapan kedua orang tuaku tidak akan aku hancurkan. Walaupun kadangkala bayagan Indah sering menghantui fikiranku. Namun, tetap kugagahkan jua.

Setelah berhempas-pulas, aku akhirnya selamat menduduki peperiksaan STPM. Aku berdoa agar aku akan mendapat keputusan yang cemerlang setelah aku berusaha bersungguh-sungguh. Namun, Indah masih begitu. Sejak hari terakhir persekolahan, aku tidak lagi pernah menemui Indah. Kadangkala ada juga aku lalu di hadapan rumahnya dengan harapan aku dapat melihat kelibatnya. Bertanyakan pada rakan-rakan yang lain, semuanya tidak tahu tentang Indah, seolah-olah semua rakan-rakanku tidak mahu memberitahu perihal Indah kepadaku. Aku tetap masih menanti wajah Indah yang sangat ’indah’ di pandangan mataku. Sehinggalah hari keputusan STPM diumumkan, aku tetap menunggu Indah. Aku pergi ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan dengan pelbagai perasaan. Ya, aku berdebar untuk mengetahui keputusanku. Namun aku jua berdebar untuk melihat wajah Indah kesayanganku.

Setibanya di sekolah, aku terus mendapatkan keputusanku daripada guru kelasku, Encik Wan Osman yang telah banyak memberikan galakan padaku. Alhamdulilah, aku telah berjaya mendapat 5A dan dinobatkan menjadi pelajar terbaik di sekolahku. Aku bersyukur padamu Ya Rabbi. Dalam kegembiraanku, aku merasa hampa. Aku tidak menemui wajah Indah. Aku berada di sekolah hingga petang dengan harapan aku akan dapat bertemu dengan Indah, namun wajahnya tidak jua kunjung tiba. Lantas aku pulang ke rumah untuk berkongsi kejayaanku dengan keluargaku. Pasti mereka gembira dengan kejayaanku ini.

Setelah hampir dua bulan menunggu, aku akhirnya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Univesiti Sheifield, London. Pada mulanya, ibu terlalu berat untuk melepaskanku tetapi setelah aku yakinkan ibu, akhirnya ibu redah melepaskanku walau dengan hati yang begitu berat. Aku meninggalkan keluargaku, tanah airku dan wajah Indah yang kurindui dengan satu harapan untuk memburu kejayaan dan memebela nasib keluargaku.

Setelah hampir empat tahun aku melalui pahit getir di perantauan, aku kembali semula ke tanah air. Aku memilih untuk menjadi pendidik, membela nasib anak-anak bangsaku yang sentiasa dahagakan ilmu. Aku bertugas di sekolah lamaku, Sekolah Menengah Tun Perak sebagai guru Bahasa Inggeris. Aku bersyukur kerana aku dapat menabur budi di tempatku sendiri. Namun, hingga kini, wajah Indah tidak pernah lagi kutemui. Aku dipagut rindu yang menebal untuk bertemu dan menatap wajah ’indahnya’. Aku ingin memohon maaf atas kesalahku. Andai perbuatan aku memaharinya dulu telah melukakan hatinya, aku sanggup menebus kembali kesalahanku. Aku tidak mahu lagi terseksa seperti ini. Terseksa menanti sesuatu yang aku tidak pasti.

Suatu hari, aku hampir tidak percaya apabila terpandang gadis bertudung litup yang melintas di hadapan bilik guru. Mataku terpaku. Lantas aku mengejarnya dan memanggilnya tetapi gadis itu hilang dalam bilik pengetuaku yang masih muda dan agak kacak orangnya. Sedang aku berdiri di hadapan bilik pengetua, tiba-tiba pengetua membuka pintu dan terpacul wajah pengetua dan gadis yang kukejar sebentar tadi. ”Indah”! Terpacul keluar nama itu dari mulutku. Kulihat Indah juga terkejut.

”Cikgu Budi kenal dengan Indah?”. tanya pengetua yang berumur awal 30-an itu. Aku hanya membatukan diri.

”Kenalkan, ini isteri saya, Puan Cahaya Indah, kami baru tiga bulan berkahwin”. sambungnya lagi.

Aku seperti tidak percaya. Gadis yang kunanti dan kurindui selama ini rupanya telah menjadi isteri pengetua sekolahku sendiri.

”Maafkan Budi, Indah”. Kataku.

”Budi doakan semoga Indah bahagia hingga ke akhir hayat”. Sambungku lagi.

Hanya itu yang mampu aku katakan pada saat ini. Tiada lagi wajah yang indah dan sentiasa kurindui. Kini, berakhirlah sudah sebuah penantian yang ’indah’.




No comments:

Post a Comment