Sunday, September 27, 2009

PEMBUDAYAAN BAHASA KEBANGSAAN


Bahasa Melayu ialah bahasa negara iaitu bahasa Kebangsaan Malaysia dan bahasa rasmi negara. Ini termaktub pada Perkara 152 dalam Undang-undang Pendidikan Kebangsaan semenjak Akta Pelajaran 1957 hingga ke Akta Pendidikan 1996. Sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Melayu mempunyai peranannya yang tersendiri iaitu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu yang merupakan asas penting dalam pembinaan Negara. Oleh itu, bahasa Melayu perlu menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Namun begitu, pembudayaan bahasa Melayu disalahfahami oleh sesetengah orang sebagai usaha mengisi bahasa Melayu dengan unsur budaya, seolah-olah bahasa Melayu tidak atau kurang berbudaya ( Awang Sariyan, 2004a:16).


Pembudayaan bahasa kebangsaan dapat didefinisikan berdasarkan beberapa aspek. Kata pembudayaan itu sendiri terbit daripada pada kata ‘budaya’ yang bermaksud tamadun atau peradaban. Pembudayaan pula bermaksud proses atau cara melazimkan sesuatu seperti ilmu dan pemikiran sebagai sebahagian daripada amalan hidup. Pembudayaan bahasa kebangsaan bermaksud mengamalkan cirri-ciri bahasa itu, termasuk aspek nilai budi, kesantunan, dan sistem linguistik bahasa yang berkenaan dalam kehidupan seharian. Menurut Datuk seri Utama Dr, Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dalam ucapannya semasa merasmikan Seminar Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), KeKKWa dan Universiti Putra Malaysia, beliau telah mentakrifkan maksud pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai mengamalkan sesuatu itu sebagai tabi’i hidup mengikut kaedah atau rukunnya. Justeru, membudayakan bahasa kebangsaan membawa erti memakai bahasa Melayu dalam perhubungan linguistik yang betul dan mengisi tuntutan hidup harian dan seterusnya menunjangi zaman membentuk tamadun masyarakat dan bangsa Melayu. Walaupun bahasa Melayu telah berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaun di negara ini, dan berjaya menjadi bahasa ilmu dan bahasa tamadun tinggi, namun pembudayaan bahasa Melayu masih belum dapat dibanggakan. Oleh itu, situasi dan peranan bahasa Melayu sejak dahulu hingga kini perlu dikaji serta langkah-langkah ke arah membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan.


Jika kita lihat dari perspektif sejarah, bahasa Melayu telah mencapai zaman kegemilangan sejak zaman kesultanan Melayu sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19. Awang Sariyan (2004b:17) menyatakan bahawa keagungan tamadun Melayu silam (dari zaman Sriwijaya hingga zaman kesultanan Melayu Melaka, Pasai, Aceh, Kedah, patani, BanjarMasin, Riau Johor dan sebagainya). Selain itu, sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa sastera tinggi, bahasa penyebaran agama besar dan lingua franca bagi Kepulauan Melayu di bawah Kerajaan Sriwijaya. Fakta ini disokong oleh Sarjana terkemuka Belanda, Francois Valentijn. Beliau mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut :

Bahasa mereka, bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan diseluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri timur sebagai suatu bahasa yang mudah difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa bahasa Perancis dan Latin di Eropah…(Awang Sariyan, 2005:1)


Berdasarkan bukti ini jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh masyarakat terdahulu dan telah menjadi budaya dalam amalan kehidupan mereka.

Namun kini, nilai pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kita semakin luntur. Nilai kelunturan ini dapat dilihat dalam dua aspek utama iaitu aspek taraf dan mutu bahasa. Kelunturan dalam aspek taraf bermaksud menyempitkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa kebangsaan , Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas, tetapi kian mengecil. Sementara itu, kelunturan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang fungsional seperti pentadbiran, penyiaran, dan pendidikan. Berikut diperturunkan scenario peristiwa bahasa yang boleh kita renungkan bersama-sama untuk melihat dan menilai tahap pembudayaan bahasa kebangsaan di negara kita. Senario ini berlaku dalam sebuah majlis rasmi kerajaan yang dihadiri oleh pegawai tinggi kerajaan dan para pembesar negara. Pengacara majlis memulakan majlis dengan asaalamualaikum dan mengalu-alukan para hadirin dalam bahasa Inggeris. Selain itu, ucapan oleh penganjur, tetamu kehormat serta bacaan doa juga dilafazkan dalam bahasa Inggeris. Pendek kata, seluruh acara dalam majlis rasmi kerajaan itu berlangsung dalam bahasa Inggeris, sedangkan seorang dua sahaja hadirin yang terdiri daripada orang asing. Yang lainnya orang Malaysia, kebanyakannya orang Melayu, yang sudah pasti menguasai bahasa Melayu dengan baik. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa nilai pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan kita semakin meruncing dan tidak dapat dibanggakan. Oleh itu, langkah-langkah ke arah pembudayaan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan.


Peningkatan nilai pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahan jati diri dan maruah bangsa dan negara. Langkah utama ke arah pembudayaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia ialah melalui penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu. Contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Teo Kok Seng (2006:698) menyatakan bahawa peluasan liputan dan lingkungan penggunaan dalam ranah rasmi ini hendaklah merangkumi segala macam kegiatan dan apa-apa sahaja yang melibatkan penggunaan ruang awam atau perhatian awam, yang dianjurkan (misalnya pelancaran acara tertentu) dan diuruskan (misalnya pemasangan sesuatu iklan) oleh mana-mana organisasi, sama ada awam ataupun swasta. Justeru, semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Diharapkan dengan usaha ini, tidak akan ada sebarang tindakan yang mampu melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, penyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.


Di samping itu, langkah yang seterusnya dalam usaha pembudayaan bahasa kebangsaan dalam jiwa-jiwa bangsa kita ialah melalui sistem pendidikan seperti yang dikemukanan oleh Awang Sariyan. Usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu selaras dengan Akta Pelajaran 1996. Misalnya pengajaran matematik dan sains semacam mati sejak tahun 2002. kita tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris tetapi biarlah bahasa Melayu berganding dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, sukatan pelajaran, buku teks, bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Ini bermakna, setiap aktiviti dalam arena pendidikan mestilah menggunakan bahasa Melayu yang baik. Dengan demikian, diharapkan budaya bahasa kebangsaan ini dapat disuburkan dalam diri anak-anak bangsa kita di samping menepis landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi sama ada bahasa sembang internet, bahasa ‘sms’ atau yang lain daripada menggugat bahasa Melayu yang mewakili budaya teras.


Selain itu, pembudayaan bahasa kebangsaan juga dapat dilaksanakan melalui medium perniagaan dan penyiaran. Aktiviti perniagaan dan penyiaran merupakan satu wadah utama dalam masyarakat Malaysia. Jika kita lihat sekarang, pelbagai ragam atau binaan frasa baru dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek sistem linguistik bahasa Melayu dengan betul. Contohnya, bahasa yang disiarkan di media massa. Penciptaan bentuk bahasa seperti “infotaimen” dan “sure heboh” menggambarkan penggunaan bahasa rojak yang semakin berleluasa. Di samping itu, bahasa-bahasa yang dipamerkan di tempat-tempat awam juga tidak menepati sistem bahasa yang betul. Jika situasi ini berterusan, usaha pembudayaan bahasa kebangsaan semakin malap. Dengan demikian, pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai agen pembudayaan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan.Justeru, tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga undang-undang. Contohnya, Akta Komunikasi dan Penyiaran serta Undang-undang Kecil Perniagaan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas. Bagi premis-premis perniagaan pula, pindaan dan peruntukan akta yang berkaitan perlu diperluaskan. Akta-akta yang sudah tidak dikemas kini atau tidak jelas penggunaan bahasa Melayu seperti akta jalan, parit dan bangunan, akta pertubuhan, akta pendaftaran perniagaan, akta syarikat, akta cap dagang serta akta industri pelancongan perlu dipinda dengan segera. Dengan demikian, diharapakan bahasa yang disiarkan di media massa ada program televisyen mahupun iklan serta bahasa yang dipamerkan di tempat awam mestilah dalam bentuk bahasa kebangsaan yang baik dan betul di samping tidak mengabaikan unsur keindahan dan kesantunan bahasa.


Usaha yang seterusnya untuk membudayakan bahasa kebangsaan dalam masyarakat Malaysia ialah melalui pengukuhan penggunaan bahasa Melayu disemua sektor, sama ada sektor kerajaan mahupun swasta. Pensyarah di Jabatan Antropologi Universiti Malaya, Profesor Datuk Zainal Kling, (2006:2) berkata, penggunaan bahasa Melayu secara rasmi dalam semua aspek kehidupan di sektor kerajaan atau swasta adalah jalan terbaik untuk memartabatkan bahasa itu. Contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula dalam semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara ataupun dalam sektor swasta dan korporat. Usaha ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan persekutuan dan Akta Kebangsaan. Ini bermakna, semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan masyarakat, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Selain itu, modul bahasa dan persuratan dalam program di setiap agensi kerajaan dan sektor swasta perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ‘kursus dalam perkhidmatan’ masing-masing. Melalui usaha ini, diharapkan sektor kerajaan dan swasta mampu menjadi model dalam membentuk acuan bahasa kebangsaan sebagai budaya dalam masyarakat Malaysia.


Selain itu, program pemasyarakatan bahasa kebangsaan merupakan satu langkah penting dalam usaha membudayakan bahasa kebangsaan dalam masyarakat kita. Pihak kerajaan melalui semua kementerian, jabatan, agensi, perbadanan serta pihak swasta hendaklah secara aktif merancang dan menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara. Hal ini disebabkan masyarakat mudah menerima serta mudah terpengaruh apabila mereka sendiri yang melakukan aktiviti tersebut dan terlibat secara langsung. Contohnya, penganjuran Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Melalu aktiviti sebegini, masyarakat akan terdedah dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul serta sedar tentang kelestarian bahasa Melayu yang patut diamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Di samping itu, melalui usaha kerajaan juga, semua program yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mestilah memasukkan program bahasa dan persuratan sebagai komponen utama. Misalnya, dalam Program Latihan khidmat Negara (PLKN), Kursus Biro Tatanegara dan Program KP3P. Selain itu, Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan professional perlu memasukkan modul bahasa Melayu. Melalui program sebegini, masyarakat akan dapat melibatkan diri secara langsung, sama ada di peringkat sekolah, sektor kerajaan dan swasta serta dalam komuniti tempat tinggal mereka sendiri. Maka, nilai-nilai penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul dapat disemai dalam diri jiwa-jiwa bangsa kita dan seterusnya mampu menjadi budaya dalam amalan kehidupan harian mereka.


Kesimpulannya, masih jauh lagi perjalanan bagi menimbulkan rasa setia dan gah dalam kalangan rakyat Malaysia tentang bahasa kebangsaan. Di samping kurangnya rasa setia dan gah bahasa, merosotnya kesedaran tentang norma dan sistem bahasa kebangsaan merencatkan usaha pembudayaan bahasa kebangsaan. Dalam keghairahan mengejar pembangunan dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan ini, kita tidak seharusnya membiarkan generasi akan datang mencari-cari budaya warisan kita. Hal ini disebabkan bahasa dan budaya tidak boleh dipisahkan. Maka, dalam kita mengejar pembangunan, aspek pembudayaan bahasa kebangsaan sebagai jati diri bangsa yang maju mengikut acuan sendiri harus diberi perhatian. Dalam erti kata lain, penghayatan pembudayaan bahasa kebangsaan dalam segala aspek pembangunan perlu dilaksanakan. Oleh itu, keadaan begini menuntut kita rasa sayang dan cinta kepada bahasa sebagai warisan bangsa untuk terus-menerus berjuang agar ungkapan ‘Bahasa jiwa bangsa’ bukan sekadar tinggal di bibir, tetapi diterjemah dalam bentuk amalan harian oleh seluruh rakyat Malaysia.



No comments:

Post a Comment